Thursday, April 9, 2009

Mesej Dua Bukit Satu Batang

1. Jangan salah faham. Saya bukan mencarut. Dua bukit - Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Satu batang - Batang Ai. Itu maksud saya.

2. Daripada 3 PRK serentak ini, BN menang satu, PR menang dua. Secara agregetnya BN kalah 1-2 kepada PR. Kalah lagi untuk kali ke empat dalam PRK selepas PRU ke 12 tahun lepas. Nasib baik ada kerusi Batang Ai sebagai penawar duka. Kalau tidak BN putih mata.

3. Di Bukit Gantang, isyaratnya memang terang. BN yang letak calon dari UMNO akan kalah. Itu kata kawan saya yang mengajar di sana. Dia Guru Besar dan dah bercampur gaul dengan orang sana lebih dua puluh tahun lamanya. Dia tahu apa yang bermain di kepala orang Bukit Gantang. Dia tahu apa yang orang Bukit Gantang hendak buktikan dalam PRK itu.

4. Malah katanya ada sesetengah orang Bukit Gantang kata, pemergian ke rahmatullah YB yang lama itu sebagai satu 'peluang' yang dikurniakan oleh Allah SAW untuk orang Bukit Gantang memberikan 'isyarat' kepada kerajaan baru Perak khasnya dan BN amnya. Isyarat itu telah pun diberikan - mereka tak merestui 'cara' pengambilalihan kuasa oleh BN tempoh hari. Maka majoriti undi pun meningkat hampir sekali ganda.

5. Di Bukit Selambau pula agak samar-samar. Sebab itu ramai yang nak cuba nasib. YB lepas parti Bebas. Dia menang. Maka timbullah 13 calon Bebas yang sebahagiannya tak tahu apa-apa benda pun tentang politik. Di sini BN yang letak calon dari MIC dilihat tak pandai nak cari isu. Sebagai contoh, dalam TV tunjuk temuramah dengan warga India miskin yang rumahnya usang dan tiada bekalan letrik. Rupa-rupanya dia tinggal dalam kawasan estet. Bukan salah kerajaan tapi salah pengurusan estet yang tak masukkan letrik ke rumahnya. Orang Bukit Selambau tahu dan ketawakan TV. Hampir semua kempen di TV tunjuk orang India sedangkan pengundi majoriti sebenarnya adalah Melayu.

6. Di Batang Ai pula lain. Di situ tak ada calon BN dari UMNO kerana UMNO memang 'tidak dibenarkan' ada di Sarawak sama macam roti Gardenia. Calonnya adalah orang Sarawak dari parti komponen BN yang memang berasal dan bertapak di Sarawak. Meskipun kalau UMNO ada di Sarawak dan BN letak calon dari UMNO, malah jika dari MCA atau MIC sekalipun pasti BN akan kalah. Gerenti. Maka BN menang di Batang Ai dan membuktikan sekali lagi negeri-negeri Malaysia Timur menjadi penyelamat maruah BN.

7. Umumnya mesej dari Dua Bukit dan Satu Batang ini mudah sahaja. Sama macam mesej dari Permatang Pauh dan Kuala Terengganu - UMNO semakin dibenci. Bukan BN tapi UMNO sahaja. Tapi disebabkan UMNO itu tunjang BN maka MCA dan MIC pun turut hancur sama.

8. Pertukaran PM dari Pak Lah kepada DS Najib dan aura kemasukan semula Tun Mahathir ke dalam UMNO belum dapat meyakinkan dan mempengaruhi pengundi. Mereka masih skeptikal kepada pengaruh Pak Lah yang masih dilihat wujud dalam UMNO. Menantu dan penyokong kuat Pak Lah masih ada. KJ pula pegang salah satu sayap utama UMNO walaupun terbukti seorang perasuah.

9. Tak lama lagi SPRM mungkin akan timbulkan beberapa watak perasuah dalam UMNO lagi. Orang ramai tahu benda ini semua. Mereka menunggu sahaja. Jadi, macamana nak dapat undi? Macamana? Walau ada 10 PRK lagi pun, selagi UMNO kekal macam ini, maka UMNO gerenti akan kalah.

10. DS Najib boleh memberikan isyarat awal melalui pelantikan Kabinet nanti. Insya'allah.

No comments: