1. Betul ke BN tak akan bertanding di DUN Penanti?
2. Kata PM itu permainan politik PR. Jika diadakan, PRK DUN Penanti akan membuang masa dan wang ringgit, kata PM lagi. Dalam konteks ini saya setuju. Malah semua PRK memang buang masa dan buang duit. Duit itu pula duit rakyat. Duit kita semua. SPR telah membelanjakan hampir RM 2 juta untuk 5 PRK selepas PRU 12 lepas. Banyaknya. Alangkah bagus kalau duit itu dibuat benda lain yang lebih menguntungkan rakyat. Dalam kemelut ekonomi hari ini, eloklah kalau PRK itu tak dibuat. Saya juga setuju kalau SPR halusi semula sistem dan prosedur sedia ada. Kalau boleh PRK dibuat jika pemegang jawatan meninggal dunia sahaja. Kalau letak jawatan, parti yang menang dulu cuma perlu lantik orang lain sahaja. Tapi boleh ke buat macam tu? Parti yang kalah mesti bercita-cita nak ambil balik kerusi itu.
3. Laman web UMNO kata UMNO dan BN tak berminat nak bertanding di DUN Penanti. Saya rasa elok juga kita lihat dari sudut yang lain pula. Mungkinkah UMNO dan BN sebenarnya tak berani dan tak yakin akan menang?
4. PR dengan 'bangganya' dan tanpa rasa gentar mengumumkan peletakkan jawatan ADUN Penanti dan 'menjemput' BN ke dalam satu lagi PRK yang mereka amat yakin boleh dimenangi dengan mudah pada ketika ini. BN, seperti yang diduga rasa bimbang dengan situasi semasa yang hampir tak memihak kepada mereka langsung dalam konteks PRK. Malah jika sekarang dibuat PRU, mungkin BN akan terkubur. Itu yang dapat kita lihat sekarang. BN memang belum bersedia untuk menghadapi apa-apa pilihanraya ketika ini. Kalau buat juga, BN akan kalah. Pemenang DUN Penanti bersilih ganti antara BN dan pembangkang sejak dari dulu lagi. Kali ini jelas kerusi itu masih lagi milik pembangkang.
5. Rakyat ketika ini masih dimomokkan dengan kisah-kisah UMNO dan para pemimpinnya yang perasuah. Di mana-mana pun orang bercerita pasal ini. Bukan senang nak bersihkan lumpur yang terpalit ini. Ianya mengambil masa. UMNO sebagai parti teras dalam BN perlu bersihkan lumpur ini segera dengan apa cara sekalipun. Ambil tindakan serius kepada mereka ini. Tunjukkan kepada rakyat bahawa UMNO dan BN akan berubah dan kembali ke landasan yang betul.
6. Sebagai contoh, tindakan tidak melantik KJ dalam kabinet adalah satu permulaan yang baik. Tetapi seperti kata Tun M, masih ada lagi mereka yang dikaitkan dengan rasuah telah dilantik dalam kabinet. Malah KM Melaka yang disabitkan kesalahan rasuah dan tidak dibenarkan bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO bulan Mac lepas masih kekal dalam jawatan tersebut. Kenapa tak lantik sahaja KM yang baru? Ini yang tak sedapnya. Ini yang akan 'mengacau' pemikiran, dan persepsi rakyat. Tun M kata siasatan ke atas mereka ini mesti diteruskan dan diambil tindakan, bukan biarkan sahaja ia berlalu ditelan masa. Walaupun ada pepatah atau ungkapan mengatakan "masa akan mengubah segalanya...", namun ianya tidak boleh diaplikasikan dalam politik, khasnya di Malaysia. Dalam hal ini, Melayu nampaknya TIDAK mudah lupa.
7. Perpecahan dalam parti komponen BN mesti diubat segera. Perpecahan dalam MCA yang melibatkan Presiden dan Timbalan Presiden yang seperti berlainan 'kapal' sangat serius. Perpecahan dalam MIC juga sedang berlaku. Mr Samy masih enggan berundur. Saya percaya tak lama lagi pengikut setia Mr Samy hari ini akan bosan dan muak juga dengan pendirian Mr Samy ini, dan mereka akan menentangnya. Ini bukan soal ya atau tidak tapi bila. Dan bila ini berlaku maka semakin parahlah MIC dan semakin goyahlah BN.
8. Dalam UMNO pula, kejadian di Terengganu amat memalukan dan menurunkan lagi nilai UMNO keseluruhannya. Kemelut politik di Terengganu ini sebenarnya sudah lama, sejak selepas PRU ke 12 lagi bila Dato' Ahmad Said dilantik jadi MB. Sebaik sahaja ambilalih jawatan, Dato' Ahmad Said terus tukar kereta rasmi kerajaan negeri dan 'mempersalahkan' kerajaan BN sebelum ini yang menggunakan Proton Perdana. Banyak lagi isu-isu yang bertentangan ditimbulkan selepas itu. Situasi ini seolah-olah menggambarkan macam kerajaan negeri yang baru ini datangnya dari parti pembangkang! Rentetan dari itu maka UMNO dan BN pun tewas dalam PRK Kuala Terengganu. Rakyat Terengganu keliru. Tak tahu nak sokong siapa? Jadi, ambil sahaja jalan tengah - undi calon PAS. Habis cerita. Rakyat sebenarnya bukan tak suka UMNO atau BN tapi itulah hakikatnya. Mereka bosan dengan keadaan itu.
9. Lihat situasi parti-parti komponen BN di Sabah dan Sarawak. Kenapa di sana BN sangat kukuh? Mudah sahaja. Semua orang tahu. Parti-parti komponen BN di sana tidak bergolak. Mereka sepakat dalam banyak segi. Mereka puashati dalam pembahagian kerusi dan sebagainya. Cuma pembahagian jawatan di peringkat nasional sahaja yang kurang memuaskan hati mereka. Namun itu sudah 'diubati' sedikit dalam rombakan kabinet baru DS Najib. Tindakan Datuk Yong TL dari SUPP yang keluar BN tahun lepas bagai gigitan semut yang tak memberi kesan kepada BN. Parti-parti komponen BN Sabah yang lain kekal dalam BN. Mungkin Datuk Yong TL kesal dengan tindakannya itu. Kalau kekal dulu mungkin sudah jadi menteri. Datuk Anifah Aman sudah jadi menteri kanan hari ini. Tapi Datuk Yong TL masih boleh kembali. Mudah sahaja. Alasannya tidak setuju dengan mantan PM lepas. Sekarang PM baru. Di Sarawak pula tak ada UMNO. Kalau ada UMNO, saya rasa BN di Sarawak akan goyah juga. Sentimen dan naluri orang Sarawak agak 'lain' sedikit dari orang Sabah. Mereka tak berapa gemar 'sentuhan' orang luar dalam hal ehwal negeri mereka.
10. Saya yakin UMNO dan BN tak 'berminat' bertanding di DUN Penanti. Jika ini berlaku kita tak terkejut. DS Anwar pun kata BN tak akan bertanding. Dia tahu kenapa. Dia tahu PR akan menang mudah dan BN akan terus tercalar dan luka semakin dalam. Luka itu bukan sekadar boleh disapu ubat sahaja tapi perlu dijahit, dibalut dan dirawat berulang-ulang kali sebelum ia benar-benar sembuh.
Saya ramai kawan dalam tentera. Mereka kata:
1. Tentera dah banyak berubah. Jauh beza dari dulu.
2. Doktrin peperangan, dasar pentadbiran dan halatuju dah digubal semula menjurus kepada senario pertahanan semasa. Selepas pengganas kominis meletakkan senjata pada hujung tahun 1989 di Semenanjung dan 1990 di Sarawak, tentera terus mengorak langkah memperkasakan tahap kesiapsiagaan tempur. Sistem persenjataan dan kelengkapan lain dipertingkatkan selaras dengan doktrin peperangan terkini. Kesejahteraan kehidupan anggota tentera dan keluarga di kem-kem seluruh negara jauh meningkat. Lihat Pangkalan TLDM Lumut, Kem Sungai Besi dan Kem Wardieburn.
3. Peningkatan modal insan dalam tentera telah bermula lebih sedekad yang lalu. Hari ini dah tak ada anggota tentera yang buta huruf macam dulu. Hari ini hampir setiap anggota tentera peringkat bawahan ada sijil SPM sekurang-kurangnya. Ada juga yang dah ada diploma dan ijazah pertama. Itu peringkat bawahan. Bagi pegawai pula, yang berpangkat Leftenan Muda dan Leftenan mempunyai sekurang2nya diploma. Hampir semua yang berpangkat Kapten dan Mejar dah ada masters. Yang pangkat tinggi lagi dah ada Phd. Malah tentera dah ada universiti sendiri – UPNM!
4. Ada banyak peluang terbuka yang disediakan dalam tentera. Bagi yang tahu, mereka berebut-rebut nak masuk tentera. Setiap kali ada pengambilan rekrut baru, beribu-ribu yang datang. Tempat di UPNM menjadi rebutan. Ramai orang besar negara nak masukkan anak belajar di sana. Saya pun sama. Saya nak anak saya masuk UPNM kalau layak lepas SPM nanti.
5. Dulu ramai yang anggap golongan tentera sebagai “Second Class Citizen”. Ada juga ungkapan mengatakan, “A Good Chinese Son Never Join The Army”. Mungkin bagi kaum Cina bermaksud kalau masuk tentera tak akan jadi kaya. Mungkin betul. Mungkin tidak. Apa pun, ini semua menunjukkan betapa hinanya kalau masuk tentera. Hari ini anggapan dan ungkapan ini dah tak relevan. Kalau ada pun kelompok “Second Class Citizen” sudah tentu bukan golongan tentera. Itu pasti.
6. Walau apa sekali pun, meski pun tidak disebut dalam Bajet 2010, kerajaan tetap mementingkan tentera dan warganya. Dalam bab gaji dan imbuhan kewangan yang lain mungkin tak seberapa tetapi mencukupi. Lumrah alam – berapa banyak pun duit yang dapat tetap tak cukup juga.
7. Itulah antara sebahagian perkara yang diberitahu oleh kawan-kawan saya yang dah berkhidmat berbelas dan berpuluh tahun dalam tentera. Banyak lagi yang tak sempat nak ditulis di sini. Pendek kata, mereka tidak setuju sama sekali kalau dikatakan bahawa kerajaan hari ini membutakan mata dan memekakkan telinga dengan tentera.