Monday, June 1, 2009

Mat Rempit: Jangan 'Glamorkan' Mereka Lagi

1. Baru-baru ini kita mendengar tentang cadangan menukarkan nama Mat Rempit kepada Samseng Jalanan. Ada yang setuju dan ada pula yang kata keterlaluan sangat nama itu. Apa pun perkara itu sekarang dah senyap. Tak tahu apa kesudahannya.

2. Saya setuju sangat kalau nama Mat Rempit itu ditukar, tak kisahlah tukar kepada nama apa pun, yang penting tukar. Nama Mat Rempit ini dah menjadi seakan satu nama 'glamor' kepada mereka. Mana tidaknya. Nama Mat Rempit dah dijadikan filem untuk tayangan di pawagam dan drama bersiri untuk tayangan di TV.

3. Memang tak dinafikan filem dan drama itu dibuat sebagai pengajaran dan tauladan kepada Mat Rempit. Tetapi berapa kerat Mat Rempit yang 'termakan' dengan mesej dan nasihat yang disajikan itu. Saya rasa lebih ramai mereka yang berminat dengan gaya, ketampanan pelakon lelaki dan keayuan pelakon wanitanya. Bila tunggang motorsikal, si mamat akan perasan macam si pelakon lelaki dan si minah yang membonceng pula perasan macam si pelakon wanita dalam filem atau drama itu. Saya masih ingat pada tahun 80an bila filem Azura ditayangkan. Pelakonnya adalah Jamal Abdillah dan Ogy Ahmad Daud. Ramai mamat dan minah yang hanyut terikut-ikut gaya Jamal dan Ogy dalam filem itu. Masa itu ramai mat motor yang tulis tangki minyak motor mereka 'Azura'. Pakai jaket pun tulis 'Azura' di depan atau di belakang. Paling ramai yang buat macam itu adalah mamat-mamat dan minah-minah kilang.

4. Hakikatnya, mereka terikut-ikut dengan gaya para pelakon tersebut. Malah ada juga yang menjadikan stail motorsikal dalam filem dan drama itu sebagai contoh untuk mereka 'make-up' motorsikal mereka. Itu yang mereka nampak dan tiru, bukan jalan cerita atau mesej nasihat yang cuba disampaikan. Lagi pun saya percaya nasihat dan teguran daripada ibu bapa mereka lebih banyak dari apa yang ada dalam filem dan drama itu. Tapi mereka tak dengar juga.

5. Ada pihak yang mengatakan fenomena Mat Rempit ini berlaku di serata dunia, bukan setakat di Malaysia sahaja. Ini salah satu daripada implikasi pembangunan kepada sesebuah negara sedang membangun dan negara maju. Betul ke? Saya rasa di Jepun, negara gergasi pencipta dan pengeluar motorsikal dunia jenis Honda, Yamaha, Suzuki, Kawasaki dan lain-lain tak ada Mat Rempit! Sama juga di US. Kalau pun ada, mereka bukan gunakan motorsikal kecil macam Mat Rempit kita. Mereka gunakan motorsikal besar yang berkuasa tinggi. Kita pun ada golongan macam itu. Kita tak panggil mereka Mat Rempit. Golongan ini adalah dari kalangan mereka yang dah cukup dewasa, berfikiran matang, malah ada yang dari golongan orang berada, orang kaya dan anak raja. Mereka tak berlumba di jalanan. Saya rasa kurang tepat kalau kita menyamakan kedua-dua situasi ini.

6. Mat Rempit yang kita cakapkan ini adalah budak-budak belasan tahun yang menggunakan motorsikal kecil atau 'kapcai'. Ini yang bahaya. Motorsikal sekecil itu nak ditunggang laju sampai mencecah beratus kilometer sejam dan ditambah pula dengan aksi-aksi ala 'stuntman' yang tak sesuai dengan spesifikasi motorsikal tersebut. Ramai di kalangan mereka yang hilang nyawa di atas jalan. Aksi mereka menjengkelkan dan membahayakan orang lain. Ditambah pula dengan masalah-masalah sosial lain seperti bohsia dan dadah rentetan dari fenomena Mat Rempit ini.

7. Bagi saya, Mat Rempit tak boleh ditempatkan dalam masyarakat kita. Jangan lagi dibuat filem atau drama berkaitan dengannya. Mereka takkan belajar malah akan menjadi lebih seronok dan tambah 'glamor'. Tukar gelaran mereka kepada satu gelaran yang menjijikan. Sebut sahaja terus terasa benci, loya dan terasa nak muntah. Buat macam gambar-gambar yang dilekatkan di kotak-kotak rokok sekarang. Terasa takut dan geli nak beli rokok. Apa lagi nak menghisapnya. Gelaran 'Samseng Jalanan' pun tak sesuai. Nampak macam lebih 'terror' pulak.

8. Saya cadangkan bagi mereka gelaran 'Kutu Babi Jalanan'.

1 comment:

azlishukri said...

saya link blog tuan