Thursday, July 9, 2009

Dulu Bola Sekarang Sepak Takraw

1. Dalam kita teraba-raba mencari jalan penyelesaian kepada kemelut mutu sukan bolasepak yang telah berlarutan sejak beberapa abad yang lalu satu lagi bencana menimpa - Sepak Takraw.

2. Alangkah terkejutnya kita bila pasukan sepak takraw kita tewas kepada pasukan dari Korea Selatan dalam pertandingan yang dijalankan di Thailand baru-baru ini. Di mana kita nak letak muka?

3. Sepak takraw adalah sukan yang pernah didominasi sepenuhnya oleh kita sejak dulu lagi. Sukan ini boleh dikatakan berasal dari Tanah Melayu yang pernah dimainkan sejak zaman kesultanan Melayu lagi. Mula asalnya dari sepak raga dalam bentuk yang berlainan. Kemudian ditukar menjadi sepak takraw yang lebih berbentuk pertandingan. Bola yang digunakan asal mulanya dari rotan dan kini ditukar jadi plastik.

4. Hari ini sukan ini bukan menjadi milik kita lagi. Kita sudah tidak menguasainya lagi walaupun di rantau kita sendiri. Jika ditakdirkan sepak takraw dijadikan salah satu acara dalam sukan olimpik satu hari nanti, kita tak akan jadi juaranya.

5. Selalunya kita akan bertanya di mana silapnya?

6. Soalan ini kalau nak dirungkaikan panjang ceritanya. Bagi saya mudah sahaja. Kita terlalu alpa. Kita terlalu yakin (over confident). Kita bersikap 'complacent'. Kita tak ikut peredaran zaman dan proses evolusi dalam sukan tersebut.

7. Kita alpa dan leka dalam merangka latihan dan strategi sedangkan jiran-jiran kita sentiasa berusaha memperkasakan teknik dan taktik permainan. Dalam beberapa dekad kita dapat lihat perkembangan baru dalam sukan ini.

8. Kita masih ingat mutu permainan kita merosot bila bola plastik mula-mula digunakan. Kita bantah tapi tak dilayan oleh ISTAF. Kemudian Thailand memperkenalkan servis kuda. Kita bantah. Kononnya servis ini akan merosakkan 'the beauty of the game'. Tapi juga tak dilayan oleh ISTAF. Hakikatnya kenapa kita yang sudah bermain permainan ini sejak ratusan tahun dahulu tidak mampu memikirkan atau mencipta teknik-teknik baru seperti ini? Akhirnya kita sendiri terpaksa akur dengan ciptaan orang lain.

9. Korea Selatan pernah menjemput kita untuk membuat pertunjukan sukan ini di negara itu satu masa dahulu. Selepas itu mereka mula memainkannya dan menyertai beberapa kejohanan tetapi menjadi belasahan kita dan Thailand. Hari ini kita pula yang terkial-kial berdepan dengan mereka dan akhirnya kalah! Dulu Indonesia, Brunai dan Singapura bukan lawan kita. Tapi hari ini mereka boleh menang mudah dengan kita.

10. Kita 'over confident'. Kita 'perasan' kita hebat. Kita tak sedar bahawa jiran-jiran dekat dan jauh kita sedang dan sentiasa melipatgandakan usaha untuk menewaskan kita. Kita alpa semua ini. Kita lebih seronok mempolitikan sukan ini. Kita berebut-rebut jawatan yang ditawarkan dalam persatuan sukan. Semua sukan termasuk sukan ini.

11. Kita lupa fakta-fakta sejarah yang telah terbukti.

12. Dulu kita pernah belasah Senegal dalam Pesta Bola Merdeka. Hari ini Senegal telah pernah layak ke pusingan akhir Piala Dunia. Sekarang tak ada sesiapa yang berminat nak menyertai Pesta Bola Merdeka lagi. Mungkin piala itu akan masuk muzium tak lama lagi. Kalau tak salah saya kita memulakan liga semi pro lebih dahulu dari Jepun. Hari ini mereka sudah ada J League, kita masih dengan semi pro lagi. FAM asyik tukar 'gerabak' baru sedangkan 'kepala keretapi' masih yang lama. KJ yang pegang jawatan penting dalam FAM dan pernah menyerlah dengan idea My Teamnya pun belum menampakkan apa-apa perubahan. Dia salah seorang 'gerabak' baru yang ditarik oleh 'kepala keretapi' lama yang masih menggunakan injin wap yang lebih banyak mengeluarkan asap dari kuasa tujahan (pick-up).

13. Sama juga dengan hoki. Dulu kita pernah menduduki tempat ke empat di dunia . Hari ini kita di tempat ke 12? Dalam badminton pun kita masih teraba-raba. Belum ada kepastian atau penguasaan sebenar. Bagi sukan yang berjaya, kita pula sibuk nak bagi duit, tanah dan gelaran. Semua ini akan merosakkan 'mind-set' atlet tersebut.

14. Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sudah lama wujud. Mana produknya?

15. Kita bukan maju ke depan tapi ke belakang.

2 comments:

Basuh Baju said...

macam2..mgkn sistem pendidikan kita yg tak menitikberatkan sukan kot?

dinda.teJa said...

Post yang baik sekali. (^ - ^).
Byk faktor n byk pihak yg terlibat sebenarnya. Byk yg perlu diungkai. Secara kasarnya boleh lah dikatakan pengurusan, latihan, dan sikap yang terlalu lemah oleh pihak yg paling byk n kerap terlibat..
Maybe....