Wednesday, October 14, 2009

Bersihkan UMNO?

1. YAB Tan Sri Muhyiddin kata bersihkan seluruh batu api, kaki cucuk dan talam dua muka daripada jemaah perjuangan UMNO. Beliau kata ahli-ahli kategori perosak ini mesti dimansuhkan daripada UMNO kerana beliau mahukan satu UMNO yang mantap, progresif dan berwibawa.

2. Datuk Ruhanie Ahmad dalam blognya menambah kelompok tersebut juga termasuk dengan mereka yang kaki rasuah, pengampu, pembodek, tukang kipas, musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, bodoh sombong, kacang lupakan kulit, kadok naik junjung dan beruk dapat bunga. Mereka ini juga perlu dibersihkan daripada UMNO.

3. Saya setuju sangat dengan saranan kedua-dua tokoh ini. Persoalannya ialah mampukah UMNO nak laksanakannya? Mampukah UMNO kehilangan sejumlah besar manusia ini kerana saya pasti kalau boleh dikumpulkan mereka ini sudah tentu jumlahnya sangat ramai! Bukan sedikit. Silap-silap tak sampai 50% yang tinggal!

4. Kelompok yang nak dibersihkan ini pula bukannya sembarangan orang. Mereka ada 'power' dan 'back-up' yang tersendiri. Kuasa paling besar yang mereka ada dan semua orang tahu ialah duit.

5. Setiap kali Perhimpunan Agong UMNO pasti sahaja ada usul dan hujah besar yang diketengahkan. Sebahagian besarnya adalah yang berkaitan dengan ketokohan semua ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO. Semua perwakilan bercakap tentang mana yang baik dan mana yang buruk. Adakah mereka tahu di mana letaknya diri mereka sendiri? Sebahagian besarnya hanya meludah ke langit atau menepuk air di dulang yang akhirnya akan terkena muka sendiri.

6. Usul dan cadangan memang mudah nak disuarakan tetapi sukar nak dilaksanakan, khasnya yang berkaitan dengan ketokohan ahli dan pemimpin-pemimpin dalam UMNO. Namun tak salah kalau mencuba dengan sedaya upaya. Jangan seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja.

No comments: