Monday, October 13, 2008

Ketua Pemuda UMNO: Siapa Yang Terbaik?

1. Umum tahu ada tiga calon Ketua Pemuda UMNO yang sedang hebat bertarung untuk menang jawatan penting tersebut. Mengikut rekod dan sejarah-sejarah UMNO lepas, mereka yang pernah memegang jawatan ini akan terus melangkah ke jawatan yang lebih tinggi atau sekurang-kurangnya jawatan menteri kanan.

2. Khairy Jamaludin (KJ), Datuk Mukhriz dan Dato' Seri Dr Khir Toyo adalah tiga orang calon tersebut. Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. KJ menantu Pak Lah, Dato' Seri Dr Khir Toyo bekas Menteri Besar Selangor dan Datuk Mukhriz pula anak Tun Dr Mahathir, mantan PM yang berkuasa lebih 20 tahun dan telah terkenal di seluruh dunia sebagai PM negara dunia ketiga yang paling menonjol. Ketiga-tiga mereka mempunyai latarbelakang yang menarik.

3. Datuk Mukhriz secara 'constant' mengkritik Pak Lah walaupun secara amnya dilihat tidak begitu mendapat sokongan secara langsung daripada ayahandanya, Tun Dr Mahathir. Datuk Mukhriz mengaku setia dengan UMNO selepas Tun Dr Mahathir keluar daripada UMNO. Beliau tidak ikut serta.

4. Ini bukti Datuk Mukhriz sayangkan UMNO dan yakin UMNO adalah landasan terbaik untuknya terus berbakti kepada negara dan bangsa. Bagi beliau, tiada cacat celanya UMNO kecuali pemimpin tertingginya iaitu Pak Lah. Datuk Mukhriz percaya bila Pak Lah tiada, maka semua orang-orang dibelakangnya juga akan hilang taring meskipun sekiranya mereka masih berada di celah-celah Putrajaya.

5. Selepas PRU ke 12 Mac lalu, Datuk Mukhriz membuat kesimpulan bahawa UMNO dan BN lemah semata-mata kerana Pak Lah, bukan kerana sebab lain. Ini diikuti dengan kekalahan UMNO di Permatang Pauh dengan majoriti lebih besar. Jelas sekali Pak Lah juga tidak diterima sepenuhnya oleh pengundi di negeri kelahirannya sendiri. Datuk Mukhriz sudah nampak ini semua sebagai petanda Pak Lah tidak akan mampu bertahan lebih lama dalam senario politik Malaysia. Sebab itu dia dengan yakin dan lantang mengkritik Pak Lah sehingga ke hari ini. Di peringkat akar umbi, kekuatan Datuk Mukhriz sebenarnya dipengaruhi oleh aura ayahandanya, Tun Dr Mahathir. Faktor ini cukup kuat.

6. KJ, satu nama besar yang timbul secara tiba-tiba. Anak muda yang 'bernasib baik' kerana dijodohkan dengan satu-satunya anak gadis Pak Lah. Anak kesayangan PM Malaysia. Berlatarbelakangkan sekalung ijazah dari Oxford, England, salah satu pusat pengajian terkenal di dunia, KJ memang dilihat 'brilliant' tapi sebenarnya 'inexperienced' dalam politik Malaysia. Beliau muncul dalam arena politik negara selepas menang tanpa bertanding untuk jawatan nombor 2 dalam Pemuda UMNO. Ramai yang kata beliau sebenarnya 'dilantik' ke jawatan itu.

7. Bermula dari situ, KJ tidak menoleh ke belakang lagi. Beliau terus mengorak langkah dan mengembangkan sayapnya dengan bantuan orang-orangnya yang memang telah tersedia sebelum itu. Mereka dikatakan menjadi apa yang kini disebut sebagai 'Budak Tingkat 4' yang tidak perlu diulas lebih lanjut apakah peranan mereka dalam pentadbiran Pak Lah. KJ terus merancang perjalanannya dalam politik dan dengan bangganya mengumumkan akan menjadi PM Malaysia pada atau sebelum berumur 40 tahun dan seterusnya mencipta rekod dalam sejarah negara. Sekurang-kurangnya seorang pernah mengumumkan ini kepada umum - nenek KJ sendiri.

8. Kemunculan KJ dalam politik dikatakan juga sebagai salah satu punca utama kejatuhan Pak Lah. Beliau (KJ) berganding bahu dengan abang iparnya mengaut kontrak bernilai jutaan ringgit dalam sekelip mata. Ramai yang mengulas perkara ini secara terbuka dan yang paling lantang adalah Tun Dr Mahathir. Tidak perlu dipanjangkan lagi di sini kerana terlalu banyak tulisan yang mengulas perkara ini dengan amat terperinci.

9. Fakta ini dilihat akan mempengaruhi sentimen akar umbi dalam membuat pertimbangan untuk mencalonkan KJ untuk jawatan Ketua Pemuda. Antara mereka mungkin ada yang terfikir KJ masih muda. Orang muda yang berdarah muda memang selalu membuat kesilapan. KJ mungkin ada potensi besar tetapi bukan sekarang. Beri dia masa untuk menjadi lebih matang dan mengumpul pengalaman secukupnya. Mungkin pada suatu masa nanti barulah beliau boleh diberikan peluang. Bukan sekarang.

10. Dato' Seri Dr Khir Toyo, seorang doktor gigi anak jati Selangor yang menjadi Menteri Besar Selangor untuk tempoh beberapa penggal. Beliau dulu dilihat sebagai tokoh terbaik untuk menerajui kepemimpinan Negeri Selangor yang pernah bermasalah pada satu ketika dahulu. Masa itu beliau masih muda, baru berumur pertengahan 30an dan sangat menonjol. Tidak hairanlah para pembangkang pada masa itu menjadikan beliau sebagai sasaran utama untuk perlbagai serangan dan tohmahan.

11. Dato' Seri Dr Khir Toyo terus berkuasa di Selangor dan boleh dikatakan berjaya menampal plaster di mulut pembangkang. Namun lama kelamaan beliau dilihat semakin megah. Malah ada yang berkata beliau semakin sombong.
Kata pepatah Inggeris, "Its hard to be humble when you are at the top". Sekian lama berkuasa maka sekian ramai juga kroninya. Allahyarham Datuk Z dikatakan sebagai kroni terkuat beliau yang mempunyai kekayaan melimpah ruah.

12. Di akhir-akhir tampuk pemerintahannya beliau menyerang Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh Negeri Selangor. Beliau melakukan tindakan yang mengejutkan dan menimbulkan pelbagai kontravesi dan mengundang pelbagai reaksi positif dan negatif dari segenap lapisan masyarakat seluruh negara - beri penyapu kepada Ketua Jabatan yang tidak efisien. Tindakan ini dilihat sebagai mencerminkan ketelusan beliau tetapi sebenarnya telah menghina mereka yang terlibat. Orang Melayu terutamanya, malah bangsa lain juga tidak boleh menerima penghinaan sebegini. Gambar sebesar setengah mukasurat depan akhbar utama memburukkan lagi keadaan. Mereka terguris. Begitu juga kakitangan bawahan mereka yang telah berkhidmat puluhan tahun.

13. Maka, dalam PRU ke 12 pada Mac lalu, kuasa Dato' Seri Dr Khir Toyo berakhir meskipun menang di kawasannya. Beliau kini mengambil tempat di bahagian lain dalam Dewan Undangan Negeri sebagai Ketua Pembangkang. Tidak banyak isu yang dapat ditimbulkan kepada PKR yang berkuasa. Hampir setiap isu yang ditimbulkan akan menimpa batang hidung sendiri. PKR juga mempunyai alasan tersendiri yang mungkin diterima rakyat apabila janji dalam manifesto tidak dapat ditunaikan atau ditangguhkan dahulu pelaksanaannya.

14. Kesediaan Dato' Seri Dr Khir Toyo untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO mungkin merupakan sebagai salah satu langkah 'survival' beliau dalam UMNO. Beliau mungkin telah melihat pelbagai rintangan yang sukar di atasi untuk beliau kembali berkuasa sebagai Menteri Besar Selangor. Walaupun telah berada dalam kelompok Ahli Majlis Tertinggi namun tiada kuasa spesifik secara peribadi. Beliau harus melakukan sesuatu. Sebagai langkah awal, beliau menjadi salah seorang Ahli MT yang menyokong kuat usul peralihan kuasa dibuat lebih awal dari yang telah diputuskan. Beliau tidak takut kerana sudah tahu Pak Lah semakin tidak relevan. Secara senyap beliau turut menyalahkan Pak Lah sebagai punca kejatuhan beliau.

15. Mesyuarat peringkat bahagian sedang berjalan sekarang ini. Para perwakilan sudah pasti mempunyai pelbagai pandangan dalam menilai siapa yang terbaik dan patut dicalonkan. Harapan seluruh rakyat adalah satu - Lantik Calon Terbaik. Harapan yang satu ini sebenarnya merangkumi semua kriteria yang tergolong dalam kategori 'Terbaik'. Jangan sesekali termakan 'gula-gula' kerana 'yang manis biasanya racun dan yang pahit itu biasanya ubat'.

16. Selamat bermesyuarat.

No comments: