Friday, October 24, 2008

Nasib Kakitangan Awam Kontrak: CUEPACS Mesti Tegas

1. Semalam CUEPACS mendedahkan satu isu yang amat memeranjatkan. Bagi sesetengah orang - menakutkan! CUEPACS dakwa kerajaan akan tamatkan kontrak 50,000 kakitangan awam kerajaan yang dilantik secara kontrak.

2. Sebagai salah seorang Ketua Jabatan, saya juga ada beberapa orang kakitangan yang semacam ini. Mereka bimbang. Ada juga yang kata mereka takut. Maklumlah kalau sudah berkhidmat selama lebih 10 atau 15 tahun, tentu banyak komitmen mereka terutamanya pada keluarga.

3. Ada di antara mereka yang sedang menanggung pengajian anak di universiti atau kolej swasta. Ada pula yang baru sahaja beli rumah. Berat tanggungan mereka. Apa mereka nak buat bila ditamatkan kontrak nanti? Mereka jadi penganggur. Mana nak cari kerja? Umur sudah meningkat. Sudah tua. Tak ada sektor yang nak ambil mereka bekerja.

4. Alasan kerajaan ialah tidak mampu menanggung beban kos. Adakah selama ini perkhidmatan mereka kepada kerajaan tidak menyumbang kepada sebarang bentuk perolehan? Walaupun kakitangan kontrak, perkhidmatan mereka sama macam kakitangan tetap. Tak ada bezanya. Kalau kakitangan tetap menjana perolehan kerajaan, mereka juga sama.

5. Kerajaan beberapa kali menegaskan kejatuhan ekonomi global sekarang ini tidak memberi kesan kepada kita. Jadi kenapa nak tamatkan kontrak mereka?

6. CUEPACS mesti berjuang habis-habisan untuk mereka. Kerajaan mesti ambil langkah alternatif selain daripada menamatkan kontrak mereka. Kalau tak mahu serap mereka ke jawatan tetap, benarkan mereka terus berkhidmat macam biasa.

7. Betul. Perkataan 'kontrak' bermaksud 'sementara'. Tidak tetap. Mereka boleh ditamatkan kerja pada bila-bila masa. Namun begitu kerajaan harus bertimbang rasa kerana mereka ini rakyat Malaysia. Mereka ada kehidupan yang perlu diteruskan.

8. Selamat berjuang CUEPACS dan selamat berjaya.

No comments: