Monday, October 20, 2008

Kita Serba Salah

1. Beginilah. Saya memang tak setuju kalau Pak Lah kekal lebih lama. Banyak sebabnya. DS Anwar Ibrahim pun tak sesuai. Ada sebab-sebabnya. Kalau boleh DS Najib pun tak nak juga. Ada juga sebab-sebabnya. Susah. Memang susah. Semuanya tak sesuai. Rasanya bukan saya seorang macam ini. Ramai lagi yang macam ini. Serba tak kena. Serba salah.

2. Agaknya kita memang sudah ketandusan pemimpin yang betul-betul sesuai sekarang ini. Ataupun sebenarnya pemimpin-pemimpin kita yang dulu-dulu itu pun ada banyak yang tak kena. Cuma kita yang tak tahu atau tak dapat tahu.

3. Dulu kita cuma dapat berita dari surat kabar, tv dan radio sahaja. Tambahan masa itu cuma ada RTM 1 dan 2. Stesen radio dan tv kerajaan. Surat kabar pun sama juga - kerajaan punya. Semuanya dikawal. Mereka siarkan yang baik-baik sahaja. Lepas itu kita dapat TV3. Sudah mula kita dapat berita-berita yang lebih terbuka sedikit. Tapi tak juga seberapa. Surat kabar tabloid mula melambak di pasaran. Komputer mulai menjadi mainan kita dan lahirlah internet. Kemudian lahir pula stesen tv swasta sepenuhnya - ASTRO. Saluran berita mereka lebih berinformasi daripada stesen-stesen lain.

4. Dulu kita banyak kumpul cerita di kedai-kedai kopi. Biasanya tempat itu terbuka dan panas tapi kita boleh duduk berjam-jam lamanya. Banding dengan hari ini kita boleh dapat macam-macam berita dan cerita dari macam-macam sumber. Sudah tentu - internetlah yang terunggul. Hari ini kita kumpul cerita di depan komputer dalam rumah kita yang selesa (kadang-kadang berhawa dingin) atau di cybercafe yang sememangnya berhawa dingin.

5. Jadi makanya kita pada hari ini sudah tak tentu hala akibat daripada himpunan cerita dan berita yang melambak-lambak dalam sesawang (web) internet. Kesahihan cerita tak tentu lagi. Yang pandai ’spin’ akan ambil kesempatan tokok tambah hinggakan bunyinya begitu sedap dan meyakinkan.

6. Sebagai manusia kita mempunyai berbagai cara, selera dan citarasa tersendiri dalam melihat dan menilai semua aspek kehidupan dan masyarakat. Ada yang begitu. Ada yang begini. Bagi mereka yang cerdik di kalangan kita, yang bercita-cita, yang ada agenda sendiri, aspek ini akan mereka gunakan sepenuhnya untuk meraih kepercayaan dan sokongan kita. Mereka akan manipulasi hati dan fikiran kita dengan berbagai cara dan pendekatan hingga kita akhirnya berkata, “Ya. Aku percaya dia. Betul. Betul.”

7. Jadi, sesungguhnyalah kita semua kena betul-betul dan sangat-sangat berhati-hati dalam membuat apa juga keputusan kerana apa yang kita putuskan hari ini akan menentukan kehidupan kita dan seluruh keturunan kita berbelas, berpuluh atau beratus tahun lagi.

8. Tepuk dada tanya selera.

2 comments:

azlishukri said...

saya sependapat dengan saudara, hampir semua calon UMNO tak sesuai. Tapi kita harus memilih yang kurang mudaratnya. saya link blog saudara. satu lagi..gambar2 kat blog ni seksi sangatlah bro..maybe u should rethink about it.

Hang Jebat said...

Sdr Azli,

Thanks for your advice, bro. They (the pics) are no more there. Salam.