Friday, October 24, 2008

Politik Wang

1. Politik wang terus bermain di bibir kita. TDM ulas isu ini lagi dalam blognya. Tak tahu sudah berapa kali TDM mengulas cerita politik wang ini dalam blognya. Dato' Seri Rais Yatim kata jawatan Majlis Tertinggi dibuat secara tender. Lucu. Memang lucu.

2. Saya sempat menelefon sahabat-sahabat di kampung yang sedang sibuk menjalani proses mesyuarat bahagian. Mereka kata memang betul. Politik wang memang sedang berleluasa. Bimbang saya mendengarnya.

3. Saya bimbang politik wang ini akan memusnahkan segala-galanya. Kita nak perubahan. Kita nak calonkan mereka yang betul-betul layak. Kita nak semuanya bersih dan telus. Semua ini akan musnah kalau ada politik wang.

4. Bagaimana kita nak halang perwakilan dari menerima sogokan? Susah. Sangat susah. Siapa yang tak mahu duit? Macamana kaya pun kita, bab duit kita tak pernah tolak. Semua orang macam itu.

5. Bagaimana pula kita nak pastikan semua perwakilan tetap dengan pendirian mereka walaupun terima sogokan? Susah juga. Kata TDM, mereka mesti ada rasa terhutang budi. Tambahan pula kalau jumlah yang diberikan itu sangat besar. Bayangkan kalau sampai RM 20,000.00!

6. Berdasarkan kedudukan statistik pencalonan hari ini, kita nampak calon-calon tertentu cukup kuat. Kita jangan lupa apa yang calon-calon lain sedang buat. Mereka tentu sedang berusaha perbaiki kedudukan dengan cara lain. Sogokan? Mungkin salah satu daripadanya.

7. Selagi belum sampai Mac 2009, selagi itulah kedudukan semua calon belum pasti. Hari ini mereka dapat pencalonan yang berlambak-lambak, bulan Mac 2009 mereka mungkin kalah. Ini tak mustahil kerana wang menentukan segalanya. Bukan kebenaran sebenar. Suka atau tidak suka fenomena ini akan terus berada dengan kita. Mungkin untuk selama-lamanya.

8. Kepada saudara mara dan para sahabat saya yang memegang pelbagai jawatan di kampung saya berpesan supaya kuatkan iman. Yakin pada kebenaran. Kalau betul apa yang mereka sampaikan pada saya, Alhamdulillah. Calon mereka memang tepat. Sekurang-kurangnya buat masa ini. Masa depan siapa yang tahu.

9. Kepada Allah kita berserah. Amin.