Thursday, July 9, 2009

Dulu Bola Sekarang Sepak Takraw

1. Dalam kita teraba-raba mencari jalan penyelesaian kepada kemelut mutu sukan bolasepak yang telah berlarutan sejak beberapa abad yang lalu satu lagi bencana menimpa - Sepak Takraw.

2. Alangkah terkejutnya kita bila pasukan sepak takraw kita tewas kepada pasukan dari Korea Selatan dalam pertandingan yang dijalankan di Thailand baru-baru ini. Di mana kita nak letak muka?

3. Sepak takraw adalah sukan yang pernah didominasi sepenuhnya oleh kita sejak dulu lagi. Sukan ini boleh dikatakan berasal dari Tanah Melayu yang pernah dimainkan sejak zaman kesultanan Melayu lagi. Mula asalnya dari sepak raga dalam bentuk yang berlainan. Kemudian ditukar menjadi sepak takraw yang lebih berbentuk pertandingan. Bola yang digunakan asal mulanya dari rotan dan kini ditukar jadi plastik.

4. Hari ini sukan ini bukan menjadi milik kita lagi. Kita sudah tidak menguasainya lagi walaupun di rantau kita sendiri. Jika ditakdirkan sepak takraw dijadikan salah satu acara dalam sukan olimpik satu hari nanti, kita tak akan jadi juaranya.

5. Selalunya kita akan bertanya di mana silapnya?

6. Soalan ini kalau nak dirungkaikan panjang ceritanya. Bagi saya mudah sahaja. Kita terlalu alpa. Kita terlalu yakin (over confident). Kita bersikap 'complacent'. Kita tak ikut peredaran zaman dan proses evolusi dalam sukan tersebut.

7. Kita alpa dan leka dalam merangka latihan dan strategi sedangkan jiran-jiran kita sentiasa berusaha memperkasakan teknik dan taktik permainan. Dalam beberapa dekad kita dapat lihat perkembangan baru dalam sukan ini.

8. Kita masih ingat mutu permainan kita merosot bila bola plastik mula-mula digunakan. Kita bantah tapi tak dilayan oleh ISTAF. Kemudian Thailand memperkenalkan servis kuda. Kita bantah. Kononnya servis ini akan merosakkan 'the beauty of the game'. Tapi juga tak dilayan oleh ISTAF. Hakikatnya kenapa kita yang sudah bermain permainan ini sejak ratusan tahun dahulu tidak mampu memikirkan atau mencipta teknik-teknik baru seperti ini? Akhirnya kita sendiri terpaksa akur dengan ciptaan orang lain.

9. Korea Selatan pernah menjemput kita untuk membuat pertunjukan sukan ini di negara itu satu masa dahulu. Selepas itu mereka mula memainkannya dan menyertai beberapa kejohanan tetapi menjadi belasahan kita dan Thailand. Hari ini kita pula yang terkial-kial berdepan dengan mereka dan akhirnya kalah! Dulu Indonesia, Brunai dan Singapura bukan lawan kita. Tapi hari ini mereka boleh menang mudah dengan kita.

10. Kita 'over confident'. Kita 'perasan' kita hebat. Kita tak sedar bahawa jiran-jiran dekat dan jauh kita sedang dan sentiasa melipatgandakan usaha untuk menewaskan kita. Kita alpa semua ini. Kita lebih seronok mempolitikan sukan ini. Kita berebut-rebut jawatan yang ditawarkan dalam persatuan sukan. Semua sukan termasuk sukan ini.

11. Kita lupa fakta-fakta sejarah yang telah terbukti.

12. Dulu kita pernah belasah Senegal dalam Pesta Bola Merdeka. Hari ini Senegal telah pernah layak ke pusingan akhir Piala Dunia. Sekarang tak ada sesiapa yang berminat nak menyertai Pesta Bola Merdeka lagi. Mungkin piala itu akan masuk muzium tak lama lagi. Kalau tak salah saya kita memulakan liga semi pro lebih dahulu dari Jepun. Hari ini mereka sudah ada J League, kita masih dengan semi pro lagi. FAM asyik tukar 'gerabak' baru sedangkan 'kepala keretapi' masih yang lama. KJ yang pegang jawatan penting dalam FAM dan pernah menyerlah dengan idea My Teamnya pun belum menampakkan apa-apa perubahan. Dia salah seorang 'gerabak' baru yang ditarik oleh 'kepala keretapi' lama yang masih menggunakan injin wap yang lebih banyak mengeluarkan asap dari kuasa tujahan (pick-up).

13. Sama juga dengan hoki. Dulu kita pernah menduduki tempat ke empat di dunia . Hari ini kita di tempat ke 12? Dalam badminton pun kita masih teraba-raba. Belum ada kepastian atau penguasaan sebenar. Bagi sukan yang berjaya, kita pula sibuk nak bagi duit, tanah dan gelaran. Semua ini akan merosakkan 'mind-set' atlet tersebut.

14. Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sudah lama wujud. Mana produknya?

15. Kita bukan maju ke depan tapi ke belakang.

Monday, June 1, 2009

Mat Rempit: Jangan 'Glamorkan' Mereka Lagi

1. Baru-baru ini kita mendengar tentang cadangan menukarkan nama Mat Rempit kepada Samseng Jalanan. Ada yang setuju dan ada pula yang kata keterlaluan sangat nama itu. Apa pun perkara itu sekarang dah senyap. Tak tahu apa kesudahannya.

2. Saya setuju sangat kalau nama Mat Rempit itu ditukar, tak kisahlah tukar kepada nama apa pun, yang penting tukar. Nama Mat Rempit ini dah menjadi seakan satu nama 'glamor' kepada mereka. Mana tidaknya. Nama Mat Rempit dah dijadikan filem untuk tayangan di pawagam dan drama bersiri untuk tayangan di TV.

3. Memang tak dinafikan filem dan drama itu dibuat sebagai pengajaran dan tauladan kepada Mat Rempit. Tetapi berapa kerat Mat Rempit yang 'termakan' dengan mesej dan nasihat yang disajikan itu. Saya rasa lebih ramai mereka yang berminat dengan gaya, ketampanan pelakon lelaki dan keayuan pelakon wanitanya. Bila tunggang motorsikal, si mamat akan perasan macam si pelakon lelaki dan si minah yang membonceng pula perasan macam si pelakon wanita dalam filem atau drama itu. Saya masih ingat pada tahun 80an bila filem Azura ditayangkan. Pelakonnya adalah Jamal Abdillah dan Ogy Ahmad Daud. Ramai mamat dan minah yang hanyut terikut-ikut gaya Jamal dan Ogy dalam filem itu. Masa itu ramai mat motor yang tulis tangki minyak motor mereka 'Azura'. Pakai jaket pun tulis 'Azura' di depan atau di belakang. Paling ramai yang buat macam itu adalah mamat-mamat dan minah-minah kilang.

4. Hakikatnya, mereka terikut-ikut dengan gaya para pelakon tersebut. Malah ada juga yang menjadikan stail motorsikal dalam filem dan drama itu sebagai contoh untuk mereka 'make-up' motorsikal mereka. Itu yang mereka nampak dan tiru, bukan jalan cerita atau mesej nasihat yang cuba disampaikan. Lagi pun saya percaya nasihat dan teguran daripada ibu bapa mereka lebih banyak dari apa yang ada dalam filem dan drama itu. Tapi mereka tak dengar juga.

5. Ada pihak yang mengatakan fenomena Mat Rempit ini berlaku di serata dunia, bukan setakat di Malaysia sahaja. Ini salah satu daripada implikasi pembangunan kepada sesebuah negara sedang membangun dan negara maju. Betul ke? Saya rasa di Jepun, negara gergasi pencipta dan pengeluar motorsikal dunia jenis Honda, Yamaha, Suzuki, Kawasaki dan lain-lain tak ada Mat Rempit! Sama juga di US. Kalau pun ada, mereka bukan gunakan motorsikal kecil macam Mat Rempit kita. Mereka gunakan motorsikal besar yang berkuasa tinggi. Kita pun ada golongan macam itu. Kita tak panggil mereka Mat Rempit. Golongan ini adalah dari kalangan mereka yang dah cukup dewasa, berfikiran matang, malah ada yang dari golongan orang berada, orang kaya dan anak raja. Mereka tak berlumba di jalanan. Saya rasa kurang tepat kalau kita menyamakan kedua-dua situasi ini.

6. Mat Rempit yang kita cakapkan ini adalah budak-budak belasan tahun yang menggunakan motorsikal kecil atau 'kapcai'. Ini yang bahaya. Motorsikal sekecil itu nak ditunggang laju sampai mencecah beratus kilometer sejam dan ditambah pula dengan aksi-aksi ala 'stuntman' yang tak sesuai dengan spesifikasi motorsikal tersebut. Ramai di kalangan mereka yang hilang nyawa di atas jalan. Aksi mereka menjengkelkan dan membahayakan orang lain. Ditambah pula dengan masalah-masalah sosial lain seperti bohsia dan dadah rentetan dari fenomena Mat Rempit ini.

7. Bagi saya, Mat Rempit tak boleh ditempatkan dalam masyarakat kita. Jangan lagi dibuat filem atau drama berkaitan dengannya. Mereka takkan belajar malah akan menjadi lebih seronok dan tambah 'glamor'. Tukar gelaran mereka kepada satu gelaran yang menjijikan. Sebut sahaja terus terasa benci, loya dan terasa nak muntah. Buat macam gambar-gambar yang dilekatkan di kotak-kotak rokok sekarang. Terasa takut dan geli nak beli rokok. Apa lagi nak menghisapnya. Gelaran 'Samseng Jalanan' pun tak sesuai. Nampak macam lebih 'terror' pulak.

8. Saya cadangkan bagi mereka gelaran 'Kutu Babi Jalanan'.

Monday, April 20, 2009

DUN Penanti: BN Tak Berminat atau Tak Berani?

1. Betul ke BN tak akan bertanding di DUN Penanti?

2. Kata PM itu permainan politik PR. Jika diadakan, PRK DUN Penanti akan membuang masa dan wang ringgit, kata PM lagi. Dalam konteks ini saya setuju. Malah semua PRK memang buang masa dan buang duit. Duit itu pula duit rakyat. Duit kita semua. SPR telah membelanjakan hampir RM 2 juta untuk 5 PRK selepas PRU 12 lepas. Banyaknya. Alangkah bagus kalau duit itu dibuat benda lain yang lebih menguntungkan rakyat. Dalam kemelut ekonomi hari ini, eloklah kalau PRK itu tak dibuat. Saya juga setuju kalau SPR halusi semula sistem dan prosedur sedia ada. Kalau boleh PRK dibuat jika pemegang jawatan meninggal dunia sahaja. Kalau letak jawatan, parti yang menang dulu cuma perlu lantik orang lain sahaja. Tapi boleh ke buat macam tu? Parti yang kalah mesti bercita-cita nak ambil balik kerusi itu.

3. Laman web UMNO kata UMNO dan BN tak berminat nak bertanding di DUN Penanti. Saya rasa elok juga kita lihat dari sudut yang lain pula. Mungkinkah UMNO dan BN sebenarnya tak berani dan tak yakin akan menang?

4. PR dengan 'bangganya' dan tanpa rasa gentar mengumumkan peletakkan jawatan ADUN Penanti dan 'menjemput' BN ke dalam satu lagi PRK yang mereka amat yakin boleh dimenangi dengan mudah pada ketika ini. BN, seperti yang diduga rasa bimbang dengan situasi semasa yang hampir tak memihak kepada mereka langsung dalam konteks PRK. Malah jika sekarang dibuat PRU, mungkin BN akan terkubur. Itu yang dapat kita lihat sekarang. BN memang belum bersedia untuk menghadapi apa-apa pilihanraya ketika ini. Kalau buat juga, BN akan kalah. Pemenang DUN Penanti bersilih ganti antara BN dan pembangkang sejak dari dulu lagi. Kali ini jelas kerusi itu masih lagi milik pembangkang.

5. Rakyat ketika ini masih dimomokkan dengan kisah-kisah UMNO dan para pemimpinnya yang perasuah. Di mana-mana pun orang bercerita pasal ini. Bukan senang nak bersihkan lumpur yang terpalit ini. Ianya mengambil masa. UMNO sebagai parti teras dalam BN perlu bersihkan lumpur ini segera dengan apa cara sekalipun. Ambil tindakan serius kepada mereka ini. Tunjukkan kepada rakyat bahawa UMNO dan BN akan berubah dan kembali ke landasan yang betul.

6. Sebagai contoh, tindakan tidak melantik KJ dalam kabinet adalah satu permulaan yang baik. Tetapi seperti kata Tun M, masih ada lagi mereka yang dikaitkan dengan rasuah telah dilantik dalam kabinet. Malah KM Melaka yang disabitkan kesalahan rasuah dan tidak dibenarkan bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO bulan Mac lepas masih kekal dalam jawatan tersebut. Kenapa tak lantik sahaja KM yang baru? Ini yang tak sedapnya. Ini yang akan 'mengacau' pemikiran, dan persepsi rakyat. Tun M kata siasatan ke atas mereka ini mesti diteruskan dan diambil tindakan, bukan biarkan sahaja ia berlalu ditelan masa. Walaupun ada pepatah atau ungkapan mengatakan "masa akan mengubah segalanya...", namun ianya tidak boleh diaplikasikan dalam politik, khasnya di Malaysia. Dalam hal ini, Melayu nampaknya TIDAK mudah lupa.

7. Perpecahan dalam parti komponen BN mesti diubat segera. Perpecahan dalam MCA yang melibatkan Presiden dan Timbalan Presiden yang seperti berlainan 'kapal' sangat serius. Perpecahan dalam MIC juga sedang berlaku. Mr Samy masih enggan berundur. Saya percaya tak lama lagi pengikut setia Mr Samy hari ini akan bosan dan muak juga dengan pendirian Mr Samy ini, dan mereka akan menentangnya. Ini bukan soal ya atau tidak tapi bila. Dan bila ini berlaku maka semakin parahlah MIC dan semakin goyahlah BN.

8. Dalam UMNO pula, kejadian di Terengganu amat memalukan dan menurunkan lagi nilai UMNO keseluruhannya. Kemelut politik di Terengganu ini sebenarnya sudah lama, sejak selepas PRU ke 12 lagi bila Dato' Ahmad Said dilantik jadi MB. Sebaik sahaja ambilalih jawatan, Dato' Ahmad Said terus tukar kereta rasmi kerajaan negeri dan 'mempersalahkan' kerajaan BN sebelum ini yang menggunakan Proton Perdana. Banyak lagi isu-isu yang bertentangan ditimbulkan selepas itu. Situasi ini seolah-olah menggambarkan macam kerajaan negeri yang baru ini datangnya dari parti pembangkang! Rentetan dari itu maka UMNO dan BN pun tewas dalam PRK Kuala Terengganu. Rakyat Terengganu keliru. Tak tahu nak sokong siapa? Jadi, ambil sahaja jalan tengah - undi calon PAS. Habis cerita. Rakyat sebenarnya bukan tak suka UMNO atau BN tapi itulah hakikatnya. Mereka bosan dengan keadaan itu.

9. Lihat situasi parti-parti komponen BN di Sabah dan Sarawak. Kenapa di sana BN sangat kukuh? Mudah sahaja. Semua orang tahu. Parti-parti komponen BN di sana tidak bergolak. Mereka sepakat dalam banyak segi. Mereka puashati dalam pembahagian kerusi dan sebagainya. Cuma pembahagian jawatan di peringkat nasional sahaja yang kurang memuaskan hati mereka. Namun itu sudah 'diubati' sedikit dalam rombakan kabinet baru DS Najib. Tindakan Datuk Yong TL dari SUPP yang keluar BN tahun lepas bagai gigitan semut yang tak memberi kesan kepada BN. Parti-parti komponen BN Sabah yang lain kekal dalam BN. Mungkin Datuk Yong TL kesal dengan tindakannya itu. Kalau kekal dulu mungkin sudah jadi menteri. Datuk Anifah Aman sudah jadi menteri kanan hari ini. Tapi Datuk Yong TL masih boleh kembali. Mudah sahaja. Alasannya tidak setuju dengan mantan PM lepas. Sekarang PM baru. Di Sarawak pula tak ada UMNO. Kalau ada UMNO, saya rasa BN di Sarawak akan goyah juga. Sentimen dan naluri orang Sarawak agak 'lain' sedikit dari orang Sabah. Mereka tak berapa gemar 'sentuhan' orang luar dalam hal ehwal negeri mereka.

10. Saya yakin UMNO dan BN tak 'berminat' bertanding di DUN Penanti. Jika ini berlaku kita tak terkejut. DS Anwar pun kata BN tak akan bertanding. Dia tahu kenapa. Dia tahu PR akan menang mudah dan BN akan terus tercalar dan luka semakin dalam. Luka itu bukan sekadar boleh disapu ubat sahaja tapi perlu dijahit, dibalut dan dirawat berulang-ulang kali sebelum ia benar-benar sembuh.

Thursday, April 9, 2009

Mesej Dua Bukit Satu Batang

1. Jangan salah faham. Saya bukan mencarut. Dua bukit - Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Satu batang - Batang Ai. Itu maksud saya.

2. Daripada 3 PRK serentak ini, BN menang satu, PR menang dua. Secara agregetnya BN kalah 1-2 kepada PR. Kalah lagi untuk kali ke empat dalam PRK selepas PRU ke 12 tahun lepas. Nasib baik ada kerusi Batang Ai sebagai penawar duka. Kalau tidak BN putih mata.

3. Di Bukit Gantang, isyaratnya memang terang. BN yang letak calon dari UMNO akan kalah. Itu kata kawan saya yang mengajar di sana. Dia Guru Besar dan dah bercampur gaul dengan orang sana lebih dua puluh tahun lamanya. Dia tahu apa yang bermain di kepala orang Bukit Gantang. Dia tahu apa yang orang Bukit Gantang hendak buktikan dalam PRK itu.

4. Malah katanya ada sesetengah orang Bukit Gantang kata, pemergian ke rahmatullah YB yang lama itu sebagai satu 'peluang' yang dikurniakan oleh Allah SAW untuk orang Bukit Gantang memberikan 'isyarat' kepada kerajaan baru Perak khasnya dan BN amnya. Isyarat itu telah pun diberikan - mereka tak merestui 'cara' pengambilalihan kuasa oleh BN tempoh hari. Maka majoriti undi pun meningkat hampir sekali ganda.

5. Di Bukit Selambau pula agak samar-samar. Sebab itu ramai yang nak cuba nasib. YB lepas parti Bebas. Dia menang. Maka timbullah 13 calon Bebas yang sebahagiannya tak tahu apa-apa benda pun tentang politik. Di sini BN yang letak calon dari MIC dilihat tak pandai nak cari isu. Sebagai contoh, dalam TV tunjuk temuramah dengan warga India miskin yang rumahnya usang dan tiada bekalan letrik. Rupa-rupanya dia tinggal dalam kawasan estet. Bukan salah kerajaan tapi salah pengurusan estet yang tak masukkan letrik ke rumahnya. Orang Bukit Selambau tahu dan ketawakan TV. Hampir semua kempen di TV tunjuk orang India sedangkan pengundi majoriti sebenarnya adalah Melayu.

6. Di Batang Ai pula lain. Di situ tak ada calon BN dari UMNO kerana UMNO memang 'tidak dibenarkan' ada di Sarawak sama macam roti Gardenia. Calonnya adalah orang Sarawak dari parti komponen BN yang memang berasal dan bertapak di Sarawak. Meskipun kalau UMNO ada di Sarawak dan BN letak calon dari UMNO, malah jika dari MCA atau MIC sekalipun pasti BN akan kalah. Gerenti. Maka BN menang di Batang Ai dan membuktikan sekali lagi negeri-negeri Malaysia Timur menjadi penyelamat maruah BN.

7. Umumnya mesej dari Dua Bukit dan Satu Batang ini mudah sahaja. Sama macam mesej dari Permatang Pauh dan Kuala Terengganu - UMNO semakin dibenci. Bukan BN tapi UMNO sahaja. Tapi disebabkan UMNO itu tunjang BN maka MCA dan MIC pun turut hancur sama.

8. Pertukaran PM dari Pak Lah kepada DS Najib dan aura kemasukan semula Tun Mahathir ke dalam UMNO belum dapat meyakinkan dan mempengaruhi pengundi. Mereka masih skeptikal kepada pengaruh Pak Lah yang masih dilihat wujud dalam UMNO. Menantu dan penyokong kuat Pak Lah masih ada. KJ pula pegang salah satu sayap utama UMNO walaupun terbukti seorang perasuah.

9. Tak lama lagi SPRM mungkin akan timbulkan beberapa watak perasuah dalam UMNO lagi. Orang ramai tahu benda ini semua. Mereka menunggu sahaja. Jadi, macamana nak dapat undi? Macamana? Walau ada 10 PRK lagi pun, selagi UMNO kekal macam ini, maka UMNO gerenti akan kalah.

10. DS Najib boleh memberikan isyarat awal melalui pelantikan Kabinet nanti. Insya'allah.

Sunday, November 2, 2008

Debat: Mukhriz vs KJ vs DS Khir Toyo

1. Jumlah pencalonan terkini bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO menunjukkan Datuk Mukhriz masih teratas diikuti Dato' Seri Dr. Khir Toyo dan akhir sekali KJ.

2. Cadangan KJ untuk mengadakan debat antara mereka terus 'didebatkan' oleh pelbagai pihak. Ada yang disiarkan dalam akhbar dan ada juga disiarkan di tv. Tapi debat itu tak juga jadi. Ramai yang tak setuju. Tak perlu.

3. Saya memang langsung tak setuju. Bagi saya debat itu dicadangkan oleh KJ kerana itu boleh jadi satu 'platform' untuk dia projek dirinya. KJ sebenarnya tak 'confident' dengan kedudukannya sekarang. Banyak cara sudah dia buat tapi nampaknya jumlah pencalonan untuk dirinya masih yang tercorot. Betul, jumlah pencalonan tak menjamin kemenangan. Tapi tetap merisaukan.

4. KJ memang pandai bercakap. Maklumlah dia dari Oxford. Dia nak tunjuk pada orang ramai yang dia lebih hebat dan lebih bijak daripada yang lain. Kata Tok Pa, tak semestinya kalau pandai bercakap dan berdebat, orang itu lebih hebat. Ada banyak aspek lain yang diperlukan.

5. Mungkin KJ nak bagi tahu apa manifesto dia dalam debat itu. Manifesto apa? UMNO sudah ada manifesto sejak ditubuhkan lagi. Tak perlu ada yang baru. KJ tak tahu ke manifesto UMNO? Walau apa pun peringkat dan jawatan dalam UMNO, manifestonya tetap sama. Laksanakan manifesto itu dan UMNO sudah tentu berada di landasan yang betul.

6. Mungkin juga KJ nak ulas apa rancangan dia untuk menangani masalah semasa, khasnya kemelesetan ekonomi global. Itu bukan kerja dia kalau pun jadi Ketua Pemuda nanti. Ketua Pemuda UMNO ada tugas-tugas tertentu dan semuanya menjurus kepada parti sahaja. Lainlah kalau KJ jadi menteri atau timbalan menteri. Mungkin juga ada kena mengenanya. Sekarang dia cuma ahli parlimen biasa sahaja.

7. Datuk Mukhriz tak berminat dengan debat ini bukan kerana takut. Dia sebenarnya meluat dengan KJ yang tak habis-habis perasan dia bagus. Dialah yang terhebat, kononnya. Dato Seri Dr. Khir Toyo tak banyak komen. Ada atau tak ada debat tersebut, dia ikut sahaja. DS Dr. Khir Toyo pasti akan ikut debat tersebut kalau diadakan nanti. Dia sudah lama dalam parti. Dia bekas Menteri Besar Selangor. Pasti dia banyak modal yang nak didebatkan nanti.

8. Debat tak perlu. Bagi saya elok kalau diadakan gusti ala WWE dan buat dalam sangkar besi. Siapa yang kekal dalam sangkar jadi Ketua Pemuda UMNO. Barulah betul-betul orang muda namanya. Kuat dan bertenaga. Kita boleh nilai kebijaksanaan mereka berfikir dalam masa yang terdesak, letih dan dalam keadaan badan yang sakit sana sini sebab kena belasah. Tak begitu?

Friday, October 24, 2008

Politik Wang

1. Politik wang terus bermain di bibir kita. TDM ulas isu ini lagi dalam blognya. Tak tahu sudah berapa kali TDM mengulas cerita politik wang ini dalam blognya. Dato' Seri Rais Yatim kata jawatan Majlis Tertinggi dibuat secara tender. Lucu. Memang lucu.

2. Saya sempat menelefon sahabat-sahabat di kampung yang sedang sibuk menjalani proses mesyuarat bahagian. Mereka kata memang betul. Politik wang memang sedang berleluasa. Bimbang saya mendengarnya.

3. Saya bimbang politik wang ini akan memusnahkan segala-galanya. Kita nak perubahan. Kita nak calonkan mereka yang betul-betul layak. Kita nak semuanya bersih dan telus. Semua ini akan musnah kalau ada politik wang.

4. Bagaimana kita nak halang perwakilan dari menerima sogokan? Susah. Sangat susah. Siapa yang tak mahu duit? Macamana kaya pun kita, bab duit kita tak pernah tolak. Semua orang macam itu.

5. Bagaimana pula kita nak pastikan semua perwakilan tetap dengan pendirian mereka walaupun terima sogokan? Susah juga. Kata TDM, mereka mesti ada rasa terhutang budi. Tambahan pula kalau jumlah yang diberikan itu sangat besar. Bayangkan kalau sampai RM 20,000.00!

6. Berdasarkan kedudukan statistik pencalonan hari ini, kita nampak calon-calon tertentu cukup kuat. Kita jangan lupa apa yang calon-calon lain sedang buat. Mereka tentu sedang berusaha perbaiki kedudukan dengan cara lain. Sogokan? Mungkin salah satu daripadanya.

7. Selagi belum sampai Mac 2009, selagi itulah kedudukan semua calon belum pasti. Hari ini mereka dapat pencalonan yang berlambak-lambak, bulan Mac 2009 mereka mungkin kalah. Ini tak mustahil kerana wang menentukan segalanya. Bukan kebenaran sebenar. Suka atau tidak suka fenomena ini akan terus berada dengan kita. Mungkin untuk selama-lamanya.

8. Kepada saudara mara dan para sahabat saya yang memegang pelbagai jawatan di kampung saya berpesan supaya kuatkan iman. Yakin pada kebenaran. Kalau betul apa yang mereka sampaikan pada saya, Alhamdulillah. Calon mereka memang tepat. Sekurang-kurangnya buat masa ini. Masa depan siapa yang tahu.

9. Kepada Allah kita berserah. Amin.

Nasib Kakitangan Awam Kontrak: CUEPACS Mesti Tegas

1. Semalam CUEPACS mendedahkan satu isu yang amat memeranjatkan. Bagi sesetengah orang - menakutkan! CUEPACS dakwa kerajaan akan tamatkan kontrak 50,000 kakitangan awam kerajaan yang dilantik secara kontrak.

2. Sebagai salah seorang Ketua Jabatan, saya juga ada beberapa orang kakitangan yang semacam ini. Mereka bimbang. Ada juga yang kata mereka takut. Maklumlah kalau sudah berkhidmat selama lebih 10 atau 15 tahun, tentu banyak komitmen mereka terutamanya pada keluarga.

3. Ada di antara mereka yang sedang menanggung pengajian anak di universiti atau kolej swasta. Ada pula yang baru sahaja beli rumah. Berat tanggungan mereka. Apa mereka nak buat bila ditamatkan kontrak nanti? Mereka jadi penganggur. Mana nak cari kerja? Umur sudah meningkat. Sudah tua. Tak ada sektor yang nak ambil mereka bekerja.

4. Alasan kerajaan ialah tidak mampu menanggung beban kos. Adakah selama ini perkhidmatan mereka kepada kerajaan tidak menyumbang kepada sebarang bentuk perolehan? Walaupun kakitangan kontrak, perkhidmatan mereka sama macam kakitangan tetap. Tak ada bezanya. Kalau kakitangan tetap menjana perolehan kerajaan, mereka juga sama.

5. Kerajaan beberapa kali menegaskan kejatuhan ekonomi global sekarang ini tidak memberi kesan kepada kita. Jadi kenapa nak tamatkan kontrak mereka?

6. CUEPACS mesti berjuang habis-habisan untuk mereka. Kerajaan mesti ambil langkah alternatif selain daripada menamatkan kontrak mereka. Kalau tak mahu serap mereka ke jawatan tetap, benarkan mereka terus berkhidmat macam biasa.

7. Betul. Perkataan 'kontrak' bermaksud 'sementara'. Tidak tetap. Mereka boleh ditamatkan kerja pada bila-bila masa. Namun begitu kerajaan harus bertimbang rasa kerana mereka ini rakyat Malaysia. Mereka ada kehidupan yang perlu diteruskan.

8. Selamat berjuang CUEPACS dan selamat berjaya.